Monday 9 September 2019

Teknik memancing kelah


Sabar menantikan strike. 

MEMANCING spesies yang sensitif ini sebenarnya sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Majoriti untuk mendapatkan kelah adalah melalui teknik pancingan dasar.

Biasanya pemancing akan duduk dalam kumpulan yang mempunyai maksimum dua hingga tiga orang bagi setiap lubuk yang dipilih.

Semasa memancing, pergerakan besar akan cuba diminimumkan sebaik mungkin. Bercakap pun selalunya seakan berbisik.

Umpan yang paling popular ialah sawit masak dan sawit peram. Sawit peram dihasilkan dengan merendam sawit di dalam air selama beberapa hari sehingga berbau sehingga mengeluarkan minyak. 


Sawit dianggap umpan paling ampuh menjerat kelah. 

Sawit peram selalunya digunakan untuk merasuah, namun boleh juga dijadikan umpan. Terdapat beberapa cara menggunakan umpan sawit masak.

Antara yang popular ialah dengan memotong hirisan sawit dan dicangkukkan pada mata kail. 

Ada juga yang menggunakan sebiji sawit yang telah masak ranum sebagai umpan dan dicangkukkan pada satu mata kail tunggal atau mata dua mata kail. 

Selain itu, cara popular lain ialah ‘sawit sate’ iaitu mengambil hirisan sawit dan cangkukkan sehingga ke perambut lebih kurang sejengkal seakan-akan sate.

Tetapi mengikut pengalaman aku juga, umpan seperti hirisan isi ikan, katak dan ketam sungai yang dibakar juga mampu mendaratkan ikan kelah.  

Apabila kelah mula memakan umpan, ia akan terus memecut untuk cuba melepaskan diri. Justeru peralatan haruslah sesuai untuk menewaskannya. 



Sabar dan rajin selain tawakal kepadaNYA adalah kunci kejayaan menaikkan kelah.

Pengalaman aku, kelah juga boleh diperolehi di hadapan campsite, tempat yang riuh rendah dengan ahli komplot bila berkumpul untuk makan, mandi-manda dengan syarat selepas semuanya selesai dan sunyi sepi.

Pernah di Royal Belum, pada malam akhir trip, sekitar jam 9 malam kitaorang perabihkan letupkan mercun bola (tak ubah macam malam raya) di campsite yang hadapannya lubuk kelah.

Lepas semuanya dah tidur, sekitar jam 3 pagi seekor kelah dianggarkan berat 4 kg memakan umpan sawit yang dipasang dan akhirnya berjaya dinaikkan dengan megahnya.   

Ini membuktikan kelah tetap makan umpan asalkan keadaan sunyi sepi.

-------------------------------------------------------------------

INFO
Peralatan disyorkan
* Rod 10-20lb
* Kekili 3000-4000
* Tali jenis mono 10-15lb

Tips
* Elakkan sebarang bunyi bising.
* Memancing biar berteman atas faktor keselamatan.
*Jika memancing malam haruslah mengikat tali pada rod, kerana kes rod terjun lubuk memang kerap berlaku dan kelah yang akan mengambil umpan bersaiz besar.
* Jangan gunakan loceng penggera di hujung joran.
* Guna stick lamp bersaiz kecil sebagai penggera getuan.


No comments:

Post a Comment