Showing posts with label ikan kelah. Show all posts
Showing posts with label ikan kelah. Show all posts

Monday, 9 September 2019

Teknik memancing kelah


Sabar menantikan strike. 

MEMANCING spesies yang sensitif ini sebenarnya sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Majoriti untuk mendapatkan kelah adalah melalui teknik pancingan dasar.

Biasanya pemancing akan duduk dalam kumpulan yang mempunyai maksimum dua hingga tiga orang bagi setiap lubuk yang dipilih.

Semasa memancing, pergerakan besar akan cuba diminimumkan sebaik mungkin. Bercakap pun selalunya seakan berbisik.

Umpan yang paling popular ialah sawit masak dan sawit peram. Sawit peram dihasilkan dengan merendam sawit di dalam air selama beberapa hari sehingga berbau sehingga mengeluarkan minyak. 


Sawit dianggap umpan paling ampuh menjerat kelah. 

Sawit peram selalunya digunakan untuk merasuah, namun boleh juga dijadikan umpan. Terdapat beberapa cara menggunakan umpan sawit masak.

Antara yang popular ialah dengan memotong hirisan sawit dan dicangkukkan pada mata kail. 

Ada juga yang menggunakan sebiji sawit yang telah masak ranum sebagai umpan dan dicangkukkan pada satu mata kail tunggal atau mata dua mata kail. 

Selain itu, cara popular lain ialah ‘sawit sate’ iaitu mengambil hirisan sawit dan cangkukkan sehingga ke perambut lebih kurang sejengkal seakan-akan sate.

Tetapi mengikut pengalaman aku juga, umpan seperti hirisan isi ikan, katak dan ketam sungai yang dibakar juga mampu mendaratkan ikan kelah.  

Apabila kelah mula memakan umpan, ia akan terus memecut untuk cuba melepaskan diri. Justeru peralatan haruslah sesuai untuk menewaskannya. 



Sabar dan rajin selain tawakal kepadaNYA adalah kunci kejayaan menaikkan kelah.

Pengalaman aku, kelah juga boleh diperolehi di hadapan campsite, tempat yang riuh rendah dengan ahli komplot bila berkumpul untuk makan, mandi-manda dengan syarat selepas semuanya selesai dan sunyi sepi.

Pernah di Royal Belum, pada malam akhir trip, sekitar jam 9 malam kitaorang perabihkan letupkan mercun bola (tak ubah macam malam raya) di campsite yang hadapannya lubuk kelah.

Lepas semuanya dah tidur, sekitar jam 3 pagi seekor kelah dianggarkan berat 4 kg memakan umpan sawit yang dipasang dan akhirnya berjaya dinaikkan dengan megahnya.   

Ini membuktikan kelah tetap makan umpan asalkan keadaan sunyi sepi.

-------------------------------------------------------------------

INFO
Peralatan disyorkan
* Rod 10-20lb
* Kekili 3000-4000
* Tali jenis mono 10-15lb

Tips
* Elakkan sebarang bunyi bising.
* Memancing biar berteman atas faktor keselamatan.
*Jika memancing malam haruslah mengikat tali pada rod, kerana kes rod terjun lubuk memang kerap berlaku dan kelah yang akan mengambil umpan bersaiz besar.
* Jangan gunakan loceng penggera di hujung joran.
* Guna stick lamp bersaiz kecil sebagai penggera getuan.


Sunday, 8 September 2019

Mengapa kelah memiliki nilai pasaran tinggi?


Foto tular empurau di Sarawak yang dijual cukup tinggi. Spesies sama cuma berlainan nama ini dijual lebih mahal dari EX5 baharu, tapi tetap ada orang yang membelinya kerana prestijnya raja air tawar ini. 

IKAN kelah mempunyai nilai pasaran yang tinggi kerana mempunyai rasa yang sangat sedap berbanding ikan lain. Selain itu, sisik ikan kelah juga boleh dimakan.

Selain nilai sebagai hidangan, ikan kelah juga merupakan ikan hiasan akuarium popular dan bernilai tinggi.  


Sisiknya yang berwarna terang dan berkilau menjadikannya tidak jemu dipandang jika diletakkan dalam akuarium.


Memancing kelah menuntut kesabaran yang cukup tinggi.

Dari sudut memancing pula, ikan kelah atau Tor tambroides merupakan ikan sukan yang sangat popular sehingga digelar raja air tawar.

Antara faktor utama ialah pecutan lariannya ketika bertarung. Sifat sensitif ikan kelah selain kecerdikan melarikan diri dicelah batu dan reba kayu menambahkan lagi cabaran untuk menaikkan ikan kelah.

Sifat sensitif ikan kelah juga dapat dilihat apabila spesies ini memilih kawasan air yang bersih untuk hidup. Justeru, spesies ini boleh menjadi indikator untuk melihat tahap pencemaran dan kualiti air bagi sesuatu kawasan.

Kehidupannya nun jauh di hulu-hulu sungai di kawasan belantara dan kesukaran untuk menangkapnya antara sebab mengapa ikan ini mahal harganya.  

Ramai juga kaki pancing yang memburu spesies ini pulang hampa dek kesukaran mendapatkannya.  



Kelah panggang, menu yang tiada tandingannya bila berjaya si pemancing berjaya memancingnya. 

Tahukah anda, untuk mendapatkan ikan ini, golongan kaki pancing (yang betul, bukannya kaki karan, bom, jaring) sanggup berjam-jam berjalan kaki meredah hutan untuk tiba ke lokasi yang dituju.

Kemudian, perlu memancingnya dengan penuh kesabaran dalam suasana yang sunyi sepi, sambil berharap umpan dilontarkan ke dalam lubuk di ambil kelah. 

Kerana itu, ia merupakan ikan impian bagi seorang pemancing. Secara puratanya kelah akan mengambil masa selama tiga tahun untuk membesar seberat 3 kg. 

Ikan kelah diketahui boleh membesar sehingga mencapai panjang 250 cm dan berat sehingga melebihi 30 kg, namun spesimen sebesar ini terlalu sukar ditemui hari ini.

Di Semenanjung, Royal Belum, Gerik merupakan spot mencari kelah terbaik bagi admin, selain beberapa lokasi seperti Sungai Keniam, Sepia di Taman Negara.

Ini kerana spot kelahnya masih kekal terpelihara dan kemasukan kaki pancing adalah terkawal kerana perlu permit Perbadanan Taman Negeri Perak dan Taman Negara untuk masuk.




Saturday, 7 September 2019

Kelah; Raja ikan air tawar Malaysia



Kelah bersaiz MANTAP! (Foto: FB Nor Azman)

Trofi! (Foto: FB Nor Azman)

Ikan idaman/lesen kaki pancing Malaysia. 

IKAN kelah atau mahseer merupakan antara spesies bernilai tinggi dan sering menjadi buruan kaki pancing khususnya di negara kita. 

Selain mempunyai nilai tinggi dibuat hidangan makan, spesies daripada keluarga kap ini juga menjadi ikan sukan yang sangat popular sehingga digelar ‘Raja Sungai’ di kalangan pemancing.

Secara amnya, kelah dikelaskan dalam tiga genus iaitu Tor, Neolissochilus dan Naziritor. Gelaran mahseer biasanya merujuk kepada spesies dalam genus Tor. 

Di negara kita, spesies kelah telah dikenal pasti sebagai Tor tambroides (Bleeker, 1854) atau Malayan mahseer.

Dalam pengelasan taksonomi, perincian spesies agak sukar dibezakan kerana mempunyai sifat luaran yang hampir sama. 

Gelaran mahseer biasanya merujuk kepada spesies dalam genus Tor. Di negara kita, spesies kelah telah dikenal pasti sebagai Tor tambroides (Bleeker, 1854) atau Malayan mahseer.

Mengimbau kembali ke belakang, spesies kelah pertama telah dihuraikan secara saintifik oleh Francis Buchanan-Hamilton sekitar 1822 iaitu Tor tor (Short-gilled mahseer). Hamilton juga merupakan penemu kepada spesies T. putitora (Golden mahseer, Himalayan mahseer). 

Taburan spesies ikan kelah boleh dijumpai di kawasan sungai yang berarus deras dan berjeram. Taburan spesies ini juga merentasi beberapa negara Asia Tenggara seperti Myanmar, Thailand, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos sehingga ke beberapa bahagian di India. 

Pun begitu, kebanyakan sistem sungai berjeram termasuk di negara kita semakin rosak lantas mengundang risiko yang semakin tinggi kepada habitat ikan kelah. 

Risiko kehilangan habitat secara langsung mengancam kemandirian spesies ikan kelah sehingga dikelaskan sebagai spesies terancam.

Antara penyebab utama terhadap kemungkinan kepupusan spesies ini termasuklah aktiviti pembalakan, pencemaran sungai, pancingan tanpa kawalan dan juga aktiviti pembinaan yang sering dikaitkan dengan pembinaan empangan.



Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum  : Chordata
Kelas     : Teleostomi
Order     : Cypriniformes
Keluarga: Cyprinidae
Genus    Tor 
                 Neolissochilus
                 Naziritor
Spesies  : Tor tambroides , Bleeker, 1854
                Tor douronensis, Valenciennes, 1842

                Tor tambra, Valenciennes, 1842

Info
Lokasi pancingan kelah popular: 
- Royal Belum, Tasik Kenyir, Sungai Keniam, Taman Negara Endau-Rompin, Kuala Koh. Tidak terkecuali beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak