Sunday 8 September 2019

Mengapa kelah memiliki nilai pasaran tinggi?


Foto tular empurau di Sarawak yang dijual cukup tinggi. Spesies sama cuma berlainan nama ini dijual lebih mahal dari EX5 baharu, tapi tetap ada orang yang membelinya kerana prestijnya raja air tawar ini. 

IKAN kelah mempunyai nilai pasaran yang tinggi kerana mempunyai rasa yang sangat sedap berbanding ikan lain. Selain itu, sisik ikan kelah juga boleh dimakan.

Selain nilai sebagai hidangan, ikan kelah juga merupakan ikan hiasan akuarium popular dan bernilai tinggi.  


Sisiknya yang berwarna terang dan berkilau menjadikannya tidak jemu dipandang jika diletakkan dalam akuarium.


Memancing kelah menuntut kesabaran yang cukup tinggi.

Dari sudut memancing pula, ikan kelah atau Tor tambroides merupakan ikan sukan yang sangat popular sehingga digelar raja air tawar.

Antara faktor utama ialah pecutan lariannya ketika bertarung. Sifat sensitif ikan kelah selain kecerdikan melarikan diri dicelah batu dan reba kayu menambahkan lagi cabaran untuk menaikkan ikan kelah.

Sifat sensitif ikan kelah juga dapat dilihat apabila spesies ini memilih kawasan air yang bersih untuk hidup. Justeru, spesies ini boleh menjadi indikator untuk melihat tahap pencemaran dan kualiti air bagi sesuatu kawasan.

Kehidupannya nun jauh di hulu-hulu sungai di kawasan belantara dan kesukaran untuk menangkapnya antara sebab mengapa ikan ini mahal harganya.  

Ramai juga kaki pancing yang memburu spesies ini pulang hampa dek kesukaran mendapatkannya.  



Kelah panggang, menu yang tiada tandingannya bila berjaya si pemancing berjaya memancingnya. 

Tahukah anda, untuk mendapatkan ikan ini, golongan kaki pancing (yang betul, bukannya kaki karan, bom, jaring) sanggup berjam-jam berjalan kaki meredah hutan untuk tiba ke lokasi yang dituju.

Kemudian, perlu memancingnya dengan penuh kesabaran dalam suasana yang sunyi sepi, sambil berharap umpan dilontarkan ke dalam lubuk di ambil kelah. 

Kerana itu, ia merupakan ikan impian bagi seorang pemancing. Secara puratanya kelah akan mengambil masa selama tiga tahun untuk membesar seberat 3 kg. 

Ikan kelah diketahui boleh membesar sehingga mencapai panjang 250 cm dan berat sehingga melebihi 30 kg, namun spesimen sebesar ini terlalu sukar ditemui hari ini.

Di Semenanjung, Royal Belum, Gerik merupakan spot mencari kelah terbaik bagi admin, selain beberapa lokasi seperti Sungai Keniam, Sepia di Taman Negara.

Ini kerana spot kelahnya masih kekal terpelihara dan kemasukan kaki pancing adalah terkawal kerana perlu permit Perbadanan Taman Negeri Perak dan Taman Negara untuk masuk.




No comments:

Post a Comment