Showing posts with label Tip & Teknik. Show all posts
Showing posts with label Tip & Teknik. Show all posts

Wednesday, 25 September 2019

Guna palam pencucuh ganti batu ladung


Palam pencucuh terpakai.

HARGA batung ladung di pasaran ketika ini memang keras dan boleh bikin pening kepala. Batu nombor 20 misalnya, khabarnya ada kedai yang menjualnya harga puluhan ringgit.

Bagaimana pula untuk pancingan yang tinggi risikonya menjadikan batu ladung sebagai ‘tukun’ di dasar seperti di sungai dan juga muara, pantai. Andai kata kalau sebiji batu no 4-8 berharga RM1 dan ke atas dan setiap trip diandaikan menggunakan 10 batu ladung serta purata ia akan sangkut 3-4 ketul, berapa pula nilai wang yang lebur untuk trip dua kali sebulan dan darab dengan setahun.



Gunakan kreativiti untuk mengikat palam pencucuh pada perambut.  

Apa kata korang jimatkan kos batu ladung terutama pancingan dasar di lokasi-lokasi risiko dengan menggunakan barang terpakai. Caranya adalah menggunakan palam pencucuh (plug) terpakai yang boleh didapati secara percuma di bengkel-bengkel motosikal.  

Untuk tentukan berat, korang boleh timbang berat palam pencucuh (gunakan penimbang elektronik) berkenaan. 



Gunakan kreativiti untuk mengikat palam pencucuh pada perambut.  

Kemudian tandakan berat mengikut berat yang anda kehendaki menggunakan marker pen dan korang boleh tambah berat dengan menambah bilangan palam pencucuh berkenaan (terpulang cara mana untuk korang ikat dan gabungkan). 

Untuk laut dalam, boleh gunakan potongan batang besi (besi yang digunakan membuat cerucuk bangunan) dengan cara mengubahsuainya di bengkel pertukangan. 

Bahkan, ia sebenarnya bukan perkara baru, pemancing tradisional yang menggunakan botol mineral yang di dalamnya diisi dengan bancuhan simen.  



Dalam hobi memancing, anda patut kreatif agar tidak terbeban dengan kos yang sebenarnya boleh dijimatkan.  

Memancing sememangnya menuntut kos tinggi. Pendek kata, selagi dapat mengurangkan kos, ia sudah cukup baik untuk poket korang. Selamat mencuba!    

Tuesday, 17 September 2019

Sila pentingkan keselamatan ketika memancing!

MEMANCING sememangnya satu aktiviti yang menyeronokkan. Pun begitu, jika kita bersikap acuh tak acuh tentang soal keselamatan, silap hari bulan boleh bertukar tragedi. Kadang-kadang situasi luar jangkaan kerap berlaku seperti perubahan cuaca, gangguan serangga malah tercangkuk mata kail sekalipun. Berikut adalah antara langkah keselamatan yang patut dititikberatkan ketika keluar memancing.


i. Tahu berenang 
Perkara asas yang penting bagi seorang pemancing ialah kebolehan untuk berenang. Bagi yang tidak pandai berenang, Ia tidaklah menghalang untuk anda terus memancing, namun sebaiknya cuba untuk belajar berenang. 

Ketika di lokasi pancing, pastikan sentiasa peka dengan keadaan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini. Sebaik-baiknya pastikan berteman bila pergi memancing dan elakkan ke lokasi tertentu bersendirian.


ii. Jaket keselamatan atau Personal Flotation Devices (PFDs) 
Kata orang, sediakan payung sebelum hujan. Seeloknya PFD perlu sentiasa ada sama ketika memancing. Bagi trip menaiki bot pula, pemilik bot wajib menyediakan PFD yang mencukupi. Bukan setakat di atas bot sahaja, jika anda trekking dan terpaksa merentas anak sungai atau jeram, anda perlu memakai PFD bagi mengelakkan dihanyutkan arus deras. 


iii. Awas ketika meranduk air 
Ketika meranduk atau merentas air, beberapa perkara penting perlu anda pastikan. Elakkan merentas jeram atau anak sungai bersendirian,pastikan ada rakan bersama. Sentiasa memakai PFD ketika meranduk air. 

Anda juga perlu tahu kedalaman air dan kederasan air sebelum meranduk. Ketika di dalan air, gunakan kayu atau kaki anda bagi mengetahui keadaan dasar air. 


 iv. Reach – Throw – Row – Go 
Ia bermaksud langkah menyelamat yang wajar kita tahu jika terdapat mangsa terjatuh ke dalam air atau lemas. Reach (capai) ialah langkah mencapai mangsa sama ada dengan tangan, tali, kayu dan sebagainya.

Jika jauh, cuba langkah throw (baling) iaitu balingkan alat keselamatan seperti PFD atau pelampung. Jika tiada, langkah row (kayuh) iaitu gunakan bot atau sampan jika ada. 
Langkah terakhir iaitu go (berenang) boleh dilakukan JIKA tiada pilihan lain dan JIKA anda betul-betul pandai berenang serta tahu langkah menyelamat mangsa lemas. 



v. Berhati-hati dengan kelengkapan memancing anda
Berhati dengan kelengkapan anda. Ketika membaling, pastikan belakang anda tiada halangan bagi mengelakkan tersangkut pada rakan atau pokok. 

Jangan sesekali membiarkan mata kail merata-rata kerana sesiapa saja boleh terpijak dan menyebabkan kecederaan. 

Gunakan playar ketika mengeluarkan mata kail pada mulut ikan.

Monday, 9 September 2019

Teknik memancing kelah


Sabar menantikan strike. 

MEMANCING spesies yang sensitif ini sebenarnya sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Majoriti untuk mendapatkan kelah adalah melalui teknik pancingan dasar.

Biasanya pemancing akan duduk dalam kumpulan yang mempunyai maksimum dua hingga tiga orang bagi setiap lubuk yang dipilih.

Semasa memancing, pergerakan besar akan cuba diminimumkan sebaik mungkin. Bercakap pun selalunya seakan berbisik.

Umpan yang paling popular ialah sawit masak dan sawit peram. Sawit peram dihasilkan dengan merendam sawit di dalam air selama beberapa hari sehingga berbau sehingga mengeluarkan minyak. 


Sawit dianggap umpan paling ampuh menjerat kelah. 

Sawit peram selalunya digunakan untuk merasuah, namun boleh juga dijadikan umpan. Terdapat beberapa cara menggunakan umpan sawit masak.

Antara yang popular ialah dengan memotong hirisan sawit dan dicangkukkan pada mata kail. 

Ada juga yang menggunakan sebiji sawit yang telah masak ranum sebagai umpan dan dicangkukkan pada satu mata kail tunggal atau mata dua mata kail. 

Selain itu, cara popular lain ialah ‘sawit sate’ iaitu mengambil hirisan sawit dan cangkukkan sehingga ke perambut lebih kurang sejengkal seakan-akan sate.

Tetapi mengikut pengalaman aku juga, umpan seperti hirisan isi ikan, katak dan ketam sungai yang dibakar juga mampu mendaratkan ikan kelah.  

Apabila kelah mula memakan umpan, ia akan terus memecut untuk cuba melepaskan diri. Justeru peralatan haruslah sesuai untuk menewaskannya. 



Sabar dan rajin selain tawakal kepadaNYA adalah kunci kejayaan menaikkan kelah.

Pengalaman aku, kelah juga boleh diperolehi di hadapan campsite, tempat yang riuh rendah dengan ahli komplot bila berkumpul untuk makan, mandi-manda dengan syarat selepas semuanya selesai dan sunyi sepi.

Pernah di Royal Belum, pada malam akhir trip, sekitar jam 9 malam kitaorang perabihkan letupkan mercun bola (tak ubah macam malam raya) di campsite yang hadapannya lubuk kelah.

Lepas semuanya dah tidur, sekitar jam 3 pagi seekor kelah dianggarkan berat 4 kg memakan umpan sawit yang dipasang dan akhirnya berjaya dinaikkan dengan megahnya.   

Ini membuktikan kelah tetap makan umpan asalkan keadaan sunyi sepi.

-------------------------------------------------------------------

INFO
Peralatan disyorkan
* Rod 10-20lb
* Kekili 3000-4000
* Tali jenis mono 10-15lb

Tips
* Elakkan sebarang bunyi bising.
* Memancing biar berteman atas faktor keselamatan.
*Jika memancing malam haruslah mengikat tali pada rod, kerana kes rod terjun lubuk memang kerap berlaku dan kelah yang akan mengambil umpan bersaiz besar.
* Jangan gunakan loceng penggera di hujung joran.
* Guna stick lamp bersaiz kecil sebagai penggera getuan.