Sunday, 29 December 2019

Ikan siakap ku tak masuk ranking

DAH lama benar tidak ada event memancing memancing kolam air masin yang dikhususkan untuk media,, memang dah bertahun lamanya.

Seingat akulah, kali terakhir adalah dekat 10 tahun lepas, event yang dianjurkan oleh Puspakom.

Masa tu aku menang tempat ke-14, dapatlah bawa pulang wang RM300.

Terbaru, pada 28 Disember 2019 lepas, aku berpeluang sertai Cabaran Memancing anjuran MalaysiaGazette yang mendapat tajaan utama dari TNB & PTPTN yang diadakan di kolam air masin, Kampung Delek, Klang, Selangor.

Cabaran ni turut mendapat tajaan dari Bernas, Adabi, Milo, MSM, Bank Islam & Sherwanis Food Industries.

Aku pun trylah,,,, nampak macam senang mancing kolam ni,,,tapi kalau tiada ilmu tentang kolam tu memang payah gak nak naikkan ikan.

Sebelum sertai,,,aku try la tgk info-info dalam laman sesawang pasal kolam ni terutama setup macamanan nak main dalam kolam ini.

Dan akhirnya pasa masa pertandingan berlangsung... beberapa kali umpan disedut masuk dalam kolong kolam...tak sempat nak tarik dah masuk dalam kolong..

Sejam sebelum berakhir pertandingan,,,aku berjaya gak naikkan siakap...hu2 kecik je saiz hidangan (1.1kg) memang tak layak masuk ranking la.

Tepat jam 12 tengah hari, tamatlah sudah pertandingan... dan keputusannya siakap yang aku dapat tak layak masuk ranking 1-10...hanya layak masuk ke dapur sebagai hidangan.

Insya-ALLAH, aku yakin ada rezeki ku di masa akan datang.

Apapun memang syok dapat memancing dengan rakan-rakan media yang lain.
Tahniah kepada MalaysiaGazzette kerana berjaya anjurkan pertandingan memancing antara media ini.

Pemenang 
Juara: Mohd NurAkram Jamaluddin (wakil TNB) - Kerapu harimau 3.3 kg
Naib Juara: Mohd Haniff Salim, (Berita Harian) - Siakap 2.65kg
Ketiga: Navveen Shankar, (Makkal Osai) - Siakap merah 1.95kg

Berikut aku kongsikan gambar-gambar event yang berlangsung.

Awal pagi media dah mula mendaftar.
Foto: MalaysiaGazzete 

Melangkah bergaya sebelum masuk kolam.
Foto: MalaysiaGazzete 

Gelagat para peserta.
Foto: MalaysiaGazzete 
Rezeki tu bang...Balik rumah boleh buat kari.
Foto: MalaysiaGazzete 
Syok la dapat bawak balik jenahak.
Foto: MalaysiaGazzete 
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak (tiga kiri) diiringi Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Dasar dan Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (dua kanan), Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Omar Sidek (tiga kanan), Pengasas HSA Trading Capital Bhd, Datuk Muhamad Riduwan Safrizal (dua kiri) beramah mesra bersama pemenang.
Foto: MalaysiaGazzete 
Tahniah kepada juara.
Foto: MalaysiaGazzete 
Tahniah MalaysiaGazzette. Tahun depan sila anjurkan lagi.
Foto: MalaysiaGazzete 




Wednesday, 25 September 2019

Guna palam pencucuh ganti batu ladung


Palam pencucuh terpakai.

HARGA batung ladung di pasaran ketika ini memang keras dan boleh bikin pening kepala. Batu nombor 20 misalnya, khabarnya ada kedai yang menjualnya harga puluhan ringgit.

Bagaimana pula untuk pancingan yang tinggi risikonya menjadikan batu ladung sebagai ‘tukun’ di dasar seperti di sungai dan juga muara, pantai. Andai kata kalau sebiji batu no 4-8 berharga RM1 dan ke atas dan setiap trip diandaikan menggunakan 10 batu ladung serta purata ia akan sangkut 3-4 ketul, berapa pula nilai wang yang lebur untuk trip dua kali sebulan dan darab dengan setahun.



Gunakan kreativiti untuk mengikat palam pencucuh pada perambut.  

Apa kata korang jimatkan kos batu ladung terutama pancingan dasar di lokasi-lokasi risiko dengan menggunakan barang terpakai. Caranya adalah menggunakan palam pencucuh (plug) terpakai yang boleh didapati secara percuma di bengkel-bengkel motosikal.  

Untuk tentukan berat, korang boleh timbang berat palam pencucuh (gunakan penimbang elektronik) berkenaan. 



Gunakan kreativiti untuk mengikat palam pencucuh pada perambut.  

Kemudian tandakan berat mengikut berat yang anda kehendaki menggunakan marker pen dan korang boleh tambah berat dengan menambah bilangan palam pencucuh berkenaan (terpulang cara mana untuk korang ikat dan gabungkan). 

Untuk laut dalam, boleh gunakan potongan batang besi (besi yang digunakan membuat cerucuk bangunan) dengan cara mengubahsuainya di bengkel pertukangan. 

Bahkan, ia sebenarnya bukan perkara baru, pemancing tradisional yang menggunakan botol mineral yang di dalamnya diisi dengan bancuhan simen.  



Dalam hobi memancing, anda patut kreatif agar tidak terbeban dengan kos yang sebenarnya boleh dijimatkan.  

Memancing sememangnya menuntut kos tinggi. Pendek kata, selagi dapat mengurangkan kos, ia sudah cukup baik untuk poket korang. Selamat mencuba!    

Tuesday, 17 September 2019

Sila pentingkan keselamatan ketika memancing!

MEMANCING sememangnya satu aktiviti yang menyeronokkan. Pun begitu, jika kita bersikap acuh tak acuh tentang soal keselamatan, silap hari bulan boleh bertukar tragedi. Kadang-kadang situasi luar jangkaan kerap berlaku seperti perubahan cuaca, gangguan serangga malah tercangkuk mata kail sekalipun. Berikut adalah antara langkah keselamatan yang patut dititikberatkan ketika keluar memancing.


i. Tahu berenang 
Perkara asas yang penting bagi seorang pemancing ialah kebolehan untuk berenang. Bagi yang tidak pandai berenang, Ia tidaklah menghalang untuk anda terus memancing, namun sebaiknya cuba untuk belajar berenang. 

Ketika di lokasi pancing, pastikan sentiasa peka dengan keadaan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini. Sebaik-baiknya pastikan berteman bila pergi memancing dan elakkan ke lokasi tertentu bersendirian.


ii. Jaket keselamatan atau Personal Flotation Devices (PFDs) 
Kata orang, sediakan payung sebelum hujan. Seeloknya PFD perlu sentiasa ada sama ketika memancing. Bagi trip menaiki bot pula, pemilik bot wajib menyediakan PFD yang mencukupi. Bukan setakat di atas bot sahaja, jika anda trekking dan terpaksa merentas anak sungai atau jeram, anda perlu memakai PFD bagi mengelakkan dihanyutkan arus deras. 


iii. Awas ketika meranduk air 
Ketika meranduk atau merentas air, beberapa perkara penting perlu anda pastikan. Elakkan merentas jeram atau anak sungai bersendirian,pastikan ada rakan bersama. Sentiasa memakai PFD ketika meranduk air. 

Anda juga perlu tahu kedalaman air dan kederasan air sebelum meranduk. Ketika di dalan air, gunakan kayu atau kaki anda bagi mengetahui keadaan dasar air. 


 iv. Reach – Throw – Row – Go 
Ia bermaksud langkah menyelamat yang wajar kita tahu jika terdapat mangsa terjatuh ke dalam air atau lemas. Reach (capai) ialah langkah mencapai mangsa sama ada dengan tangan, tali, kayu dan sebagainya.

Jika jauh, cuba langkah throw (baling) iaitu balingkan alat keselamatan seperti PFD atau pelampung. Jika tiada, langkah row (kayuh) iaitu gunakan bot atau sampan jika ada. 
Langkah terakhir iaitu go (berenang) boleh dilakukan JIKA tiada pilihan lain dan JIKA anda betul-betul pandai berenang serta tahu langkah menyelamat mangsa lemas. 



v. Berhati-hati dengan kelengkapan memancing anda
Berhati dengan kelengkapan anda. Ketika membaling, pastikan belakang anda tiada halangan bagi mengelakkan tersangkut pada rakan atau pokok. 

Jangan sesekali membiarkan mata kail merata-rata kerana sesiapa saja boleh terpijak dan menyebabkan kecederaan. 

Gunakan playar ketika mengeluarkan mata kail pada mulut ikan.

Monday, 9 September 2019

Teknik memancing kelah


Sabar menantikan strike. 

MEMANCING spesies yang sensitif ini sebenarnya sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Majoriti untuk mendapatkan kelah adalah melalui teknik pancingan dasar.

Biasanya pemancing akan duduk dalam kumpulan yang mempunyai maksimum dua hingga tiga orang bagi setiap lubuk yang dipilih.

Semasa memancing, pergerakan besar akan cuba diminimumkan sebaik mungkin. Bercakap pun selalunya seakan berbisik.

Umpan yang paling popular ialah sawit masak dan sawit peram. Sawit peram dihasilkan dengan merendam sawit di dalam air selama beberapa hari sehingga berbau sehingga mengeluarkan minyak. 


Sawit dianggap umpan paling ampuh menjerat kelah. 

Sawit peram selalunya digunakan untuk merasuah, namun boleh juga dijadikan umpan. Terdapat beberapa cara menggunakan umpan sawit masak.

Antara yang popular ialah dengan memotong hirisan sawit dan dicangkukkan pada mata kail. 

Ada juga yang menggunakan sebiji sawit yang telah masak ranum sebagai umpan dan dicangkukkan pada satu mata kail tunggal atau mata dua mata kail. 

Selain itu, cara popular lain ialah ‘sawit sate’ iaitu mengambil hirisan sawit dan cangkukkan sehingga ke perambut lebih kurang sejengkal seakan-akan sate.

Tetapi mengikut pengalaman aku juga, umpan seperti hirisan isi ikan, katak dan ketam sungai yang dibakar juga mampu mendaratkan ikan kelah.  

Apabila kelah mula memakan umpan, ia akan terus memecut untuk cuba melepaskan diri. Justeru peralatan haruslah sesuai untuk menewaskannya. 



Sabar dan rajin selain tawakal kepadaNYA adalah kunci kejayaan menaikkan kelah.

Pengalaman aku, kelah juga boleh diperolehi di hadapan campsite, tempat yang riuh rendah dengan ahli komplot bila berkumpul untuk makan, mandi-manda dengan syarat selepas semuanya selesai dan sunyi sepi.

Pernah di Royal Belum, pada malam akhir trip, sekitar jam 9 malam kitaorang perabihkan letupkan mercun bola (tak ubah macam malam raya) di campsite yang hadapannya lubuk kelah.

Lepas semuanya dah tidur, sekitar jam 3 pagi seekor kelah dianggarkan berat 4 kg memakan umpan sawit yang dipasang dan akhirnya berjaya dinaikkan dengan megahnya.   

Ini membuktikan kelah tetap makan umpan asalkan keadaan sunyi sepi.

-------------------------------------------------------------------

INFO
Peralatan disyorkan
* Rod 10-20lb
* Kekili 3000-4000
* Tali jenis mono 10-15lb

Tips
* Elakkan sebarang bunyi bising.
* Memancing biar berteman atas faktor keselamatan.
*Jika memancing malam haruslah mengikat tali pada rod, kerana kes rod terjun lubuk memang kerap berlaku dan kelah yang akan mengambil umpan bersaiz besar.
* Jangan gunakan loceng penggera di hujung joran.
* Guna stick lamp bersaiz kecil sebagai penggera getuan.


Sunday, 8 September 2019

Mengapa kelah memiliki nilai pasaran tinggi?


Foto tular empurau di Sarawak yang dijual cukup tinggi. Spesies sama cuma berlainan nama ini dijual lebih mahal dari EX5 baharu, tapi tetap ada orang yang membelinya kerana prestijnya raja air tawar ini. 

IKAN kelah mempunyai nilai pasaran yang tinggi kerana mempunyai rasa yang sangat sedap berbanding ikan lain. Selain itu, sisik ikan kelah juga boleh dimakan.

Selain nilai sebagai hidangan, ikan kelah juga merupakan ikan hiasan akuarium popular dan bernilai tinggi.  


Sisiknya yang berwarna terang dan berkilau menjadikannya tidak jemu dipandang jika diletakkan dalam akuarium.


Memancing kelah menuntut kesabaran yang cukup tinggi.

Dari sudut memancing pula, ikan kelah atau Tor tambroides merupakan ikan sukan yang sangat popular sehingga digelar raja air tawar.

Antara faktor utama ialah pecutan lariannya ketika bertarung. Sifat sensitif ikan kelah selain kecerdikan melarikan diri dicelah batu dan reba kayu menambahkan lagi cabaran untuk menaikkan ikan kelah.

Sifat sensitif ikan kelah juga dapat dilihat apabila spesies ini memilih kawasan air yang bersih untuk hidup. Justeru, spesies ini boleh menjadi indikator untuk melihat tahap pencemaran dan kualiti air bagi sesuatu kawasan.

Kehidupannya nun jauh di hulu-hulu sungai di kawasan belantara dan kesukaran untuk menangkapnya antara sebab mengapa ikan ini mahal harganya.  

Ramai juga kaki pancing yang memburu spesies ini pulang hampa dek kesukaran mendapatkannya.  



Kelah panggang, menu yang tiada tandingannya bila berjaya si pemancing berjaya memancingnya. 

Tahukah anda, untuk mendapatkan ikan ini, golongan kaki pancing (yang betul, bukannya kaki karan, bom, jaring) sanggup berjam-jam berjalan kaki meredah hutan untuk tiba ke lokasi yang dituju.

Kemudian, perlu memancingnya dengan penuh kesabaran dalam suasana yang sunyi sepi, sambil berharap umpan dilontarkan ke dalam lubuk di ambil kelah. 

Kerana itu, ia merupakan ikan impian bagi seorang pemancing. Secara puratanya kelah akan mengambil masa selama tiga tahun untuk membesar seberat 3 kg. 

Ikan kelah diketahui boleh membesar sehingga mencapai panjang 250 cm dan berat sehingga melebihi 30 kg, namun spesimen sebesar ini terlalu sukar ditemui hari ini.

Di Semenanjung, Royal Belum, Gerik merupakan spot mencari kelah terbaik bagi admin, selain beberapa lokasi seperti Sungai Keniam, Sepia di Taman Negara.

Ini kerana spot kelahnya masih kekal terpelihara dan kemasukan kaki pancing adalah terkawal kerana perlu permit Perbadanan Taman Negeri Perak dan Taman Negara untuk masuk.




Saturday, 7 September 2019

Kelah; Raja ikan air tawar Malaysia



Kelah bersaiz MANTAP! (Foto: FB Nor Azman)

Trofi! (Foto: FB Nor Azman)

Ikan idaman/lesen kaki pancing Malaysia. 

IKAN kelah atau mahseer merupakan antara spesies bernilai tinggi dan sering menjadi buruan kaki pancing khususnya di negara kita. 

Selain mempunyai nilai tinggi dibuat hidangan makan, spesies daripada keluarga kap ini juga menjadi ikan sukan yang sangat popular sehingga digelar ‘Raja Sungai’ di kalangan pemancing.

Secara amnya, kelah dikelaskan dalam tiga genus iaitu Tor, Neolissochilus dan Naziritor. Gelaran mahseer biasanya merujuk kepada spesies dalam genus Tor. 

Di negara kita, spesies kelah telah dikenal pasti sebagai Tor tambroides (Bleeker, 1854) atau Malayan mahseer.

Dalam pengelasan taksonomi, perincian spesies agak sukar dibezakan kerana mempunyai sifat luaran yang hampir sama. 

Gelaran mahseer biasanya merujuk kepada spesies dalam genus Tor. Di negara kita, spesies kelah telah dikenal pasti sebagai Tor tambroides (Bleeker, 1854) atau Malayan mahseer.

Mengimbau kembali ke belakang, spesies kelah pertama telah dihuraikan secara saintifik oleh Francis Buchanan-Hamilton sekitar 1822 iaitu Tor tor (Short-gilled mahseer). Hamilton juga merupakan penemu kepada spesies T. putitora (Golden mahseer, Himalayan mahseer). 

Taburan spesies ikan kelah boleh dijumpai di kawasan sungai yang berarus deras dan berjeram. Taburan spesies ini juga merentasi beberapa negara Asia Tenggara seperti Myanmar, Thailand, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos sehingga ke beberapa bahagian di India. 

Pun begitu, kebanyakan sistem sungai berjeram termasuk di negara kita semakin rosak lantas mengundang risiko yang semakin tinggi kepada habitat ikan kelah. 

Risiko kehilangan habitat secara langsung mengancam kemandirian spesies ikan kelah sehingga dikelaskan sebagai spesies terancam.

Antara penyebab utama terhadap kemungkinan kepupusan spesies ini termasuklah aktiviti pembalakan, pencemaran sungai, pancingan tanpa kawalan dan juga aktiviti pembinaan yang sering dikaitkan dengan pembinaan empangan.



Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum  : Chordata
Kelas     : Teleostomi
Order     : Cypriniformes
Keluarga: Cyprinidae
Genus    Tor 
                 Neolissochilus
                 Naziritor
Spesies  : Tor tambroides , Bleeker, 1854
                Tor douronensis, Valenciennes, 1842

                Tor tambra, Valenciennes, 1842

Info
Lokasi pancingan kelah popular: 
- Royal Belum, Tasik Kenyir, Sungai Keniam, Taman Negara Endau-Rompin, Kuala Koh. Tidak terkecuali beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak 

Wednesday, 4 September 2019

Hanako - Kisah ikan koi yang hidup selama 226 tahun

Dr Komer Koshihara memberi makan Hanako. 


Hanako, ikan koi betina.


226 tahun, itulah usia dan jangka hayat kehidupan bagi Hanako, yang juga spesies ikan koi hidup paling lama pernah direkodkan. Hanako yang bermaksud 'flower girl' merupakan seekor ikan koi betina yang cantik dengan sisik berwarna scarlet (merah dengan kilauan oren) dari Jepun. 

Hanako mati pada 7 Julai 1977 setelah hidup dalam usia yang begitu panjang iaitu selama 226 tahun. Ikan koi ini dilahirkan pada tahun pertama Horeki, di tengah era shogun iaitu Tokugawa Era.

Pada 25 May 1976, Dr Komer Koshihara yang merupakan pemilik si Hanako telah membuat hebahan media ke seluruh tanah Jepun menerusi stesen radio Nippon Hoso Kyokai berkenaan usia ikan koi yang cantik ini. Ketika itu, usia Hanako ialah 225 tahun dengan berat 7.5 kg dan panjangnya 70 cm. 

Dia juga menjelaskan Hanako merupakan ikan yang diwariskan dalam keluarganya sejak turun temurun. Usia Hanako disahkan oleh Profesor Masayoshi Hiro setelah membuat analisis garisan sisik Hanako di dalam makmal selama dua bulan. 

Biarpun ikan koi dikenali dengan usia yang panjang, namun untuk mencapai usia melebihi dua abad ialah sesuatu yang menakjubkan. Tak hairanlah spesies ini cukup dihormati oleh masyarakat Jepun. 

Apa yang menakjubkan selain cerita di atas ialah, usia Hanako lebih tua berbanding usia Amerika Syarikat, lahir lima tahun sebelum genius muzik klasik iaitu Mozart lahir, hidup dalam zaman Napoleon, Elvis Presley dan The Beatles!


Sumber: Fish Laboratory







Monday, 2 September 2019

Wajib walau dimana berada






TAK kira apa juga pekerjaan yang sedang kita lakukan, termasuklah hobi memancing, dirikan dan tunaikan solat walau dimana pun kita berada. Sesungguhnya solat itu tiang agama. 


10 kelengkapan survival kaki pancing wajib ada

MEMANCING di sungai pergunungan, hutan, pulau atau kawasan terpencil sememangnya mampu mengundang bahaya kepada kaki pancing. Oleh itu wajarlah kita mempersiapkan diri dengan 10 kelengkapan survival ini bagi mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku.
Pisau
Alat penting untuk aktiviti luar. Boleh digunakan untuk menyediakan makanan, membuat tapak khemah, dan juga boleh dijadikan alat pertahanan diri.
Pemetik api @ 
Nak menyediakan unggun api dengan lebih mudah kita amat memerlukan alat ini. Kalau takde unggun api susah juga nak bertahan dalam hutan.
Tin @ bekas logam
Penting juga benda ni untuk masak air atau pun nak masak makanan.

Kit kecemasan

Sediakan satu beg kecil yang di dalamnya ada plaster luka, ubat-ubatan seperti paracetamol, minyak angin, minyak gamat. Kecederaan boleh berlaku bila-bila masa. Jadi ‘sediakanlah payung sebelum hujan’.
Tali
Tali amat penting kerana ia boleh membantu dalam pelbagai cara. Boleh digunakan untuk membina khemah dan juga amat berguna jika berlaku sebarang musibah yang tak diingini.
Wisel
Bila anda tersesat di dalam hutan, wisel amat berguna untuk membolehkan anda dikesan oleh penduduk sekitar ataupun pasukan penyelamat.
Lampu suluh 
Amat penting jika anda memancing di waktu malam. Selain dijadikan sumber cahaya, alat ini juga berguna digunakan bila anda tersesat di dalam hutan.


Hammock 

Bukan sekadar jadi tempat berehat, tetapi hammock boleh menjadi tempat tidur yang lebih selesa jika memancing di hutan, sungai pergunungan atau di tepi pantai di saat khemah tidak sesuai di bina.



Makanan tambahan 
Kadang-kadang bila perut kosong sewaktu trekking boleh menyebabkan bahaya. Jadi lebih penting untuk kita sentiasa membawa makanan tambahan seperti buah pisang, kurma, coklat atau jika berkemampuan boleh beli set energy bar seperti Power Bar.



Plastik sampah

Ha, yang ni paling penting dan wajib untuk kita bawa. Ingat, tiada majlis perbandaran yang akan buang sampah di hutan. Jadi ini mesti jadi tanggungjawab kita sendiri untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Ikan kita milik orang asing!

Laporan Sinar Harian 24 Julai 2019


REALITI!
ZAMAN DAHULU harga ikan murah, AYAM MAHAL
ZAMAN SEKARANG, harga ayam murah, IKAN MAHAL










Sunday, 1 September 2019

Hulu Sungai Keniam

Hulu Sungai Keniam yang terletak di Taman Negara menjadi santuari kepada ikan-ikan seperti sebarau, tengas, kelah dan banyak lagi spesies membiak dengan baik. (Foto: John Panadol)